Pada 15 Mac 2012, PDAL telah mengadakan lawatan penandaarasan ke Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim, Universiti Pertahanan Malaysia, Sungai Besi. Seramai 9 orang kakitangan PDAL menyertai lawatan ini.
Matlamat utama lawatan penandaarasan adalah untuk meninjau perkembangan teknologi yang digunapakai dan prasarana yang disediakan oleh Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran. Antara prasarana yang dapat dilihat sepanjang sesi lawatan tersebut adalah ruang pameran buku yang berada di setiap tingkat termasuk di suatu sudut di setiap tangga. Pameran buku tersebut disusun mengikut tema atau subjek pelajaran tertentu. Pameran tersebut bertujuan untuk menunjukkan betapa meluasnya koleksi buku-buku yang terdapat di perpustakaan tersebut terutama dalam bidang pertahanan.
Selain itu juga, Perpustakaan Jeneral Tun Ibrahim juga mempunyai sebuah mesin “Bookdrop” yang di lengkapi kamera litar tertutup atau “CCTV” di dua bahagian utama iaitu pada bahagian hadapan yang bertujuan untuk merakam pengguna mesin Bookdrop tersebut serta di bahagian dalam yang bertujuan untuk merakam buku yang telah dipulangkan oleh pengguna. Kedua-dua kamera tersebut bertujuan untuk mengesan sebarang ketidakseragaman antara bahan yang dipulangkan dan tempoh atau masa dipulangkan. Maka dengan itu masalah yang timbul seperti buku tidak dipulang atau dipulangkan oleh individu yang lain dapat dikurangkan.
Pihak perpustakaan tersebut juga mempunyai Katalog Akses Awam Atas Talian atau OPAC yang dipanggil WebOpac bagi memudahkan pencarian bahan di perpustakaan. Apa yang menarik tentang penggunaan WebOpac ini ialah tiada kerusi disediakan kepada pengguna, ini bertujuan supaya memastikan tiada penyalahgunaan komputer yang telah disediakan.
Lawatan ini telah memberi pendedahan terbuka yang komprehensif dan terkini mengenai perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan. Kakitangan juga dapat bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman dengan rakan sejawat serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Berikut adalah gambar sekitar lawatan:
Tiada ulasan:
Catat Ulasan