Perpustakaan Dr. Abdul Latiff (PDAL) telah mengadakan program sanggar kerja dan lawatan perpustakaan pada 18 Jun 2011 hingga 20 Jun 2011 di Terengganu. Hampir kesemua kakitangan terlibat dan peluang telah diambil sebaik mungkin menghindarkan diri seketika dari kesibukan kota metropolitan iaitu Kuala Lumpur.
Ini merupakan sanggar kerja PDAL yang pertama diadakan berpaksikan “hala tuju Perpustakaan Dr. Abdul Latiff 2011-2015”. Perbincangan telah diadakan dengan lancar pada 18 dan 19 Jun 2011 di Hotel Grand Continental Kuala Terengganu. Segala cadangan dan idea dibahas bersama selama dua hari. Kerjasama dikalangan kakitangan menunjukkan tanda-tanda positif demi penambahbaikan kemudahan dan perkhidmatan selari dengan hala tuju PDAL.
Pada waktu malam 19 Jun 2011, satu majlis kejutan buat Puan Faizah yang bakal bersara pada 15 Julai 2011 telah diadakan. Majlis pra-perpisahan ini dilengkapi dengan ucapan dari Puan Faizah, ucapan dari wakil PDAL iaitu Cik Mariati, nyanyian dari kakitangan dan gurindam jiwa dari Encik Wahab. Acara potong kek oleh Puan Faizah dan sesi bergambar juga turut diadakan.
Pada hari terakhir 20 jun 2011, kakitangan PDAL melawat Perpustakaan Perbadanan Kuala Terengganu. Bangunan yang tersergam indah amat menarik sekali dengan adanya amalan 5S di kalangan kakitangan perpustakaan. Susun atur yang kemas, penstrukturan kemudahan perpustakaan yang strategik dan kelestarian amalan 5S amat kami amati untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Kakitangan PDAL juga berkesempatan melawat Perpustakaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA). Amat malang sekali kerana kami tidak dapat menerjah bangunan perpustakaan yang baru kerana belum siap sepenuhnya dan dijangka siap 1 atau 2 tahun lagi. InsyaAllah jika ada jodoh kami akan ke UNISZA sekali lagi. Kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur pada pukul 2 petang. Semoga kakitangan PDAL dapat memanfaatkan segala ilmu dan pengalaman semasa berada di Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan