Jumaat, 14 Mei 2010

Internet, televisyen 'musuh' buku - Ungku Aziz

KUALA LUMPUR 3 Mei - Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz menganggap Internet dan televisyen merupakan 'musuh' kepada buku kerana menghakis budaya membaca di kalangan masyarakat seperti yang berlaku di Malaysia ketika ini. Menurut tokoh akademik itu, penggunaan yang meluas kedua-dua medium itu kini membentuk masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada Internet dan televisyen untuk mendapatkan maklumat sekali gus meminggirkan kandungan sesebuah buku. "Ia menjadi semakin parah apabila sesuatu pengetahuan itu tiada di Internet, maka ia akan diabaikan begitu sahaja dan sangat merugikan masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian semasa sesi menandatangani autograf buku mengenainya bertajuk The Renaissance Man di kedai buku Kinokuniya (Malaysia) Sdn. Bhd. di Suria KLCC hari ini. Buku tersebut berkisar tentang pengalaman beliau sepanjang perkhidmatannya di Universiti Malaya (UM). Kandungan buku itu disumbangkan oleh beberapa penulis antaranya bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr. Hashim Yaacob; Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid; Prof. Emeritus Dr. K. T. Joseph; Prof. Dr. Azizah Hamzah selain Ungku Abdul Aziz sendiri. Mengulas lanjut, kata Ungku Abdul Aziz, budaya membaca buku di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara luar khususnya penduduk di Eropah yang menjadikannya satu amalan. "Mereka (penduduk Eropah) membaca buku di mana-mana sahaja walaupun masa terluang hanya 15 minit sedangkan negara mereka mempunyai kemudahan Internet yang baik ," katanya. Tambahnya, masalah kurang membaca buku bukan sahaja berlaku kepada golongan remaja, malah kepada golongan korporat dan golongan berpendidikan tinggi yang suka menghabiskan masa lapang dengan bermain golf atau melayari Internet tanpa henti. Beliau menolak dakwaan bahawa harga buku yang tinggi menjadi punca masyarakat Malaysia tidak membeli buku. "Kini sudah ada kemudahan meminjam buku di perpustakaan yang menyediakan pelbagai genre bacaan kepada pembaca, ia bukan masalah,'' jelasnya. Tambah beliau lagi, dengan membaca buku, seseorang akan mempunyai minda yang terbuka dan berupaya bercakap mengenai pelbagai perkara. "Ia berbeza dengan mereka yang tidak membaca buku kerana tidak mengetahui banyak perkara," jelasnya. Beliau turut mengesyorkan penulis tempatan supaya membanyakkan penghasilan buku dengan penulisan yang menarik dan sedikit kontroversi agar menarik minat pembaca.


Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan: